Saturday, 19 March 2011

PENGENALAN ILMU SENI KHAT



        Khat merupakan salah satu daripada hasil kesenian yang indah dan halus. Seni ini lahir dan berkembang dalam penulisan Arab dan terkandung dalam ruang lingkup peradaban Islam.Setelah kehadiran Islam, penulisan Arab telah memasuki tahap perkembangan yang begitu cepat. Pada abad pertama dan kedua Hijrah, khat merupakan salah satu ciri untuk memperindah sesuatu penulisan. Melalui khat, sesuatu maksud dapat diungkapkan. Khat turut menjadi unsur penting daripada cabang-cabang kesenian yang masih terpelihara hingga ke hari ini.

Khat ialah perkataan Arab yang bermaksud garisan. Seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Ia juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni. Tulisan-tulisan Arab pula mempunyai nilai dan kaedah tertentu yang mempunyai estetika yang tinggi.

Seni khat bukan sekadar wacana penyampai maklumat tetapi mengandungi nilai-nilai abstrak yang disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya.

PERSEDIAAN MEMPELAJARI SENI KHAT
1.                  Kepentingan Mempelajari Seni Khat;
i.                        Kepentingan Kepada Individu:
a.                        Khat merupakan salah satu wasilah perhubungan kemanusian dan merapatkan hubungan antara manusia bagi merealisasikan urusan kehidupan dengan sempurna.
b.                                  Khat juga merupakan sumber rezeki kepada orang yang mempunyai bakat dan kesungguhan dalam bidang ini.
c.                                  Orang yang menyintai khat mempunyai perasaan dan jiwa yang halus serta yakin.

ii.                        Kepentingan Kepada Masyarakat:
a.                                  Khat digunakan untuk menulis pelajaran, ilmu pengetahuan, akhbar, majalah dan sebagainya.
b.                                  Khat ditulis pada lukisan-lukisan kesenian, papan tanda iklan yang bersifat dakwah dan masyarakat boleh menghayati dan mempelajari kesenian khat itu di setiap tempat seperti di rumah, jalan-jalan dan sekolah-sekolah.
c.                                  Khat adalah alat pemindahan ilmu turas (ilmu warisan) dan ilmu pengetahuan. Ia dapat dibuktikan apabila kitab-kitab itu dihiasi dengan kulit yang indah dengan tulisan yang pelbagai jenis semenjak dahulu.
2.      Tujuan Mempelajari Seni Khat
i.                   Memelihara al-Quran dengan tulisan.
ii.                  Menjunjung wahyu Ilahi
iii.                Membantu meninggikan syiar Islam melalui penyebaran wahyu Allah dengan tulisan khat.
iv.                Memelihara dan mencatat ilmu-ilmu Islam dan khazanah warisan lampau yang menjadi rujukan muslimin sejagat.
3.      Hala Tuju Mempelajari Seni Khat
Masyarakat Islam di Malaysia khususnya serta masyarakat dunia amnya perlu :
i.                   Memartabatkan dan membudayakan tulisan al-Quran.
ii.                  Mengembalikan kegemilangan tamadun seni Islam.
iii.                Memperjuangkan tulisan jawi di Malaysia ke arah melahirkan generasi al-Quran yang mempunyai roh Islam serta mengenali dan mencintai tulisan jawi.
iv.                Meningkatkan kefahaman seni khat di seluruh peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi dengan mejadikannya sebagai satu mata pelajaran atau ko-kurikulum yang bergerak aktif dan sistematik
v.                 Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang banyak melahirkan khattat (penulis-penulis khat ) yang berwibawa melalui seminar-seminar dan aktiviti di bengkel dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu. Muzium Kesenian Islam, Yayasan Restu dan Yayasan Warisan Johor sendiri mempunyai bengkel yang khusus dalam melahirkan penulis khat yang mempunyai daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi
vi.                Mengadakan dan menganjurkan pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagaimana negara Turki yang menganjurkan pertandingan setiap 3 tahun. sekali Bertujuan untuk melahirkan penulis khat bertaraf antarabangsa dan berpengalaman.
4.      Persediaan Yang Perlu Ada Bagi Setiap Pelajar Yang Ingin Mempelajari Seni Khat
Terbahagi kepada dua iaitu :
i.                   Persediaan Fizikal
Tubuh badan yang sihat dan anggota yang sempurna. Walau bagaimanapun tidak menjadi masalah dan halangan bagi orang yang sempurna atau tidak cukup sifatnya asalkan mempunyai minat yang mendalam. Sebuah kisah penulis wanita, “Bintu Khaddan Wardi”. Sebagaimana yang telah dinaskan oleh Ishak dalam kitabnya tentang cerita pada zaman Raja al-Kamil pada bulan Syawal 624H telah datang dari Iskandariah seorang perempuan yang tidak menpunyai kedua belah tangan hingga ke siku.
Beliau melakukan segala kerja sebagaimana perempuan-perempuan lain dengan menggunakan kaki. Seorang menteri telah menemuinya dan membawa dakwat, kalam dan pisau lalu diberikan kepada perempuan tersebut. Dakwat itu diambil oleh perempuan tersebut dengan kaki kirinya, kemudian diambil kalam dan diraut dengan pisau, diasah, dibelah dan dipotong melintang kalam tersebut. Seterusnya diambil kertas dan memegangnya dengan kaki kiri dan menulis dengan kaki kanan dengan lebih baik dan cantik dari apa yang ditulis oleh penulis dengan tangan kanan mereka. Maha Suci Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia. Semoga cerita ini menjadi pendorong dan semangat kepada mereka yang betul-betul berminat untuk mendalami secara lebih luas dalam bidang seni khat ini.
ii.             Persediaan Mental
·                     Minat yang mendalam
·                     Emosi yang tenang
·                     Ketekunan yang jitu

No comments:

Post a Comment